suria

Skim Rumah Pertamaku Tarik 1,600 Permohonan Sehingga Januari

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku berjaya menarik 1,624 permohonan sehingga pada akhir Januari 2012, demikian menurut Bank Negara Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, bank pusat berkata, daripada jumlah permohonan 1,624 itu, sebanyak 562 pemohon menarik diri disebabkan oleh permohonan berganda kepada pelbagai institusi perbankan.

"Sebanyak 389 atau 36.6 peratus permohonan telah diluluskan oleh institusi perbankan, dengan 280 permohonan mendapat jaminan daripada Cagamas.

"Sementara itu, 168 atau 15.8 peratus permohonan kini sedang diproses oleh institusi perbankan manakala 505 lagi atau 47.5 peratus pemohon gagal memenuhi kriteria kelayakan," katanya.

Bank Negara berkata untuk layak, pemohon perlu mempunyai keupayaan untuk memenuhi obligasi hutang mereka, memberikan bukti aliran pendapatan yang berterusan, rekod kredit yang baik, dan berupaya memenuhi kriteria kelayakan asas Skim.

"Ini adalah untuk memastikan golongan muda yang meminjam tidak dibebani dengan obligasi hutang yang mungkin menyebabkan kemuflisan dan penarikan balik harta kediaman tersebut, " katanya.

Skim yang dilancarkan pada Mac 2011 itu bertujuan membolehkan golongan muda yang bekerja memperoleh 100 peratus pembiayaan daripada institusi perbankan bagi pembelian rumah pertama mereka yang mempunyai nilai maksimum RM220,000 (untuk seorang pemohon) atau maksimum RM400,000 (untuk permohonan bersama suami dan isteri dengan gabungan pendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan).

Permohonan boleh dikemukakan kepada institusi perbankan yang mengambil bahagian dan apabila diluluskan, Cagamas akan memberikan jaminan sebanyak 10 peratus pertama daripada pinjaman. - BERNAMA

Artikel Lain