suria

Sindiket Curi Kereta Mewah Di Empat Negeri Tumpas

PORT DICKSON: Satu sindiket mencuri kereta mewah yang dilakukan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur tumpas dengan penahanan tujuh lelaki baru-baru ini.

Polis turut menemui kembali lapan buah kereta yang dilaporkan dicuri sebelum ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata pada 28 Jan lepas, dua lelaki ditahan oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang, Johor dan merampas sebuah kereta serta beg yang mengandungi alat mencuri kenderaan serta beberapa keping cukai jalan yang disyaki palsu.

"Ekoran itu, pada 12 Februari lepas, sepasukan polis IPD Port Dickson menangkap pula dua lelaki di Port Dickson.

Hasil siasatan lanjut ke atas mereka, beberapa lagi tangkapan dan rampasan kereta yang dilaporkan hilang sebelum itu dilakukan pada 15 hingga 17 Feb lalu di beberapa tempat di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

"Kesemuanya kita tangkap tujuh lelaki tempatan berusia antara 25 dan 38 tahun. Polis turut menemui semula lapan kereta iaitu sebuah Honda Accord SV4, dua Honda CRV, sebuah Honda Accort, sebuah Honda Civic, dua Toyota Wish dan sebuah Toyota Mark X yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM500,000.

"Kereta-kereta ini merupakan kereta yang mudah untuk dijual," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Osman berkata kesemua kereta yang dirampas itu diparkir di beberapa tempat letak kereta awam dan didapati memasang nombor pendaftaran palsu.

"Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kegiatan sindiket ini didapati bermula pada tahun 2010. - BERNAMA

Artikel Lain