suria

Pensyarah Cadang Panel islam Bimbing Gay Dan Lesbian

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan ilmuan Islam perlu diwujudkan bagi membimbing dan menasihat golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini kembali ke pangkal jalan, kata seorang ahli akademik.

Penolong Profesor di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Meriam Omar Din berkata berdasarkan kajian yang dijalankannya terdapat semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan seks songsang.

"Kumpulan khas ini akan dapat mengurangkan bilangan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Meriam berkata daripada pengalamannya mendekati golongan itu, beliau mendapati tidak semua LGBT gembira dengan kehidupan serta jalan yang mereka pilih.

"Mereka yang terjebak dengan gejala ini antaranya kerana mengalami masalah perhubungan intim, tidak yakin dengan diri sendiri serta mengamalkan gaya hidup tidak sihat," katanya.

Dr Meriam berkata pembentukan kumpulan khas itu merupakan jalan terbaik untuk mendekati golongan berkenaan serta meyakinkan mereka bahawa setiap kesalahan masih ada peluang untuk diperbetulkan.

"Saya dapati masyarakat masih boleh bertoleransi dengan golongan ini di mana kita dapati ada antara mereka memang berbakat dalam bidang seni serta diterima untuk memberi sumbangan," katanya.

Dr Meriam berkata pendekatan agama merupakan satu-satunya cara yang boleh membimbing golongan itu supaya kembali ke jalan yang benar.

"Dengan pendekatan agama, kita boleh sedarkan mereka yang sebelum ini terlibat dalam perhubungan intim sesama jenis kerana mereka terlalu mengikut nafsu songsang mereka yang akan menyebabkan mereka menderita," katanya.

Dr Meriam berkata laman sosial bukanlah faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah golongan itu menjalin hubungan sesama jantina.

"Penularan seks songsang ini sudah berakar umbi sebelum kewujudan laman sosial lagi. Sebelum ini mereka yang mengalami krisis identiti akan melarikan diri daripada keluarga dan datang ke Chow Kit kerana mereka tahu di situ ada golongan yang boleh menerima mereka.

"Bagi golongan tersebut masyarakat tidak boleh menerima dan sentiasa menindas mereka. Ini menyebabkan mereka memilih untuk berada di dalam kumpulan yang salah," katanya.

Dr Meriam berkata golongan LGBT akan mengasingkan diri daripada masyarakat dan hanya berada dalam kelompok sama seperti mereka yang yakin boleh memberi menerima serta menyokong tindakan mereka.

"Bersama kumpulan tersebut mereka akan bersatu menentang masyarakat yang tidak dapat menerima mereka, malah tidak segan silu untuk berpakaian atau melakukan perbuatan yang bertentangan agama, di khalayak ramai," katanya.

Beliau berkata gejala itu bertambah teruk apabila golongan LGBT mengambil tindakan untuk keluar daripada agama Islam kerana mereka tahu perbuatan mereka adalah salah di sisi agama.

Dr Meriam berkata Islam melarang seks songsang, maka golongan itu patut memikirkan kesan daripada perbuatan mereka yang akan menyumbang kepada penyakit sosial. - BERNAMA

Artikel Lain