suria

Tuduhan Palsu: Ibu Dalam Pantang Dipenjara Sehari

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang masih dalam pantang dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Selasa terhadap tuduhan membuat laporan palsu.

Wan Syafira Wan Nazri, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 1234 Kampung Beladau Kepong, Manir di sini ketika disoal siasat pada 12.30 malam, 25 Februari lepas.

Dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Insp Miky Dustan Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes pada 25 Feb lalu, tertuduh dengan sengaja telah memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam (polis) menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang pembantu kedai sanggup mengadakan cerita kononnya bayi itu ditinggalkan di rumahnya oleh seorang warga emas.

Namun tindakan wanita itu berjaya dibongkar polis berdasarkan laporan yang bercanggah yang dikemukakannya dan dia disyaki tidak bercakap benar dan bayi tersebut adalah miliknya sendiri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain