suria

SPR Cadang Subjek Mengundi, Pilihan Raya Diperkenal Di Sekolah Menengah Atas

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan agar subjek mengenai pilihan raya dan kepentingan mendaftar sebagai pengundi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah atas.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata langkah ini bagi mendedahkan golongan remaja kepada tanggungjawab masing-masing apabila telah mencapai umur yang melayakkan mereka mendaftar dan mengundi.

"Kalau mereka didedahkan dari awal, ini akan menanam minat mereka untuk mendaftar dan mengundi selain mengetahui tanggungjawab mereka bila dewasa kelak.

"Cadangan ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran, seterusnya SPR akan berbincang untuk mendapatkan jalan terbaik memperkenalkan perkara ini," katanya kepada Bernama, di sini Selasa.

Beliau berkata pada masa ini, golongan sasar itu diberi taklimat oleh SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR), namun usaha tersebut boleh diberi penambahbaikan.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Abdul Aziz berkata antara perkara yang boleh dilakukan termasuk memperkenalkan satu bab atau tajuk di dalam mana-mana subjek atau mata pelajaran dalam kurikulum sekolah.

Beliau juga berkata pendekatan memperkenalkan proses pilihan raya dan demokrasi serta perkara berkaitan sudah diperkenalkan di beberapa buah negara.

Cadangan berikut diutarakan berikutan terdapat 3.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Menurut SPR, bagi suku tahun ketiga tahun lepas, hanya 12,400,437 yang diwartakan sebagai pemilih berbanding rakyat yang layak mendaftar sebanyak 16,131,571 orang.

Abdul Aziz berkata antara punca yang dikenal pasti menyebabkan mereka yang layak tidak mendaftar ialah tidak mengambil berat urusan berkenaan, terlalu sibuk, menganggap mendaftar sebagai pemilih adalah mendaftar untuk parti politik serta tidak tahu bagaimana untuk mendaftar sebagai pemilih.

Artikel Sebelum

Artikel Lain