suria

Parlimen: Tiada Cadangan Gubal Akta Kebebasan Maklumat

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan tidak berhasrat untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat kerana perkara-perkara yang berkaitan dengannya sudah sedia disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kebebasan bersuara dan kebebasan asasi serta Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Keterangan 1950 da laporan audit, sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"Maka kementerian hanya memfokuskan pada kemudahan pengaliran maklumat menggunakan saluran media baru seperti Internet sebagai landasan untuk penyaluran dan perkongsian maklumat di kalangan orang ramai melalui peningkatan keupayaan rangkaian komunikasi berbanding penggubalan akta baru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Rais berkata demikian ketika menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat bagi menggalakkan penyediaan maklumat dari badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam.

Menjawab soalan wakil yang sama mengenai Akta Rahsia Rasmi 1972, Rais berkata kerajaan melihat penguatkuasaan akta tersebut adalah perlu bagi kepentingan negara.

"Akta Rahsia Rasmi bukan terletak di bawah bidang kuasa KPKK tetapi d bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Bagaimanapun dalam konteks ini perlu dinyatakan bahawa setiap kerajaan berhak mengkelaskan sesuatu perkara, misalnya yang menggugat keselamatan negara sebagai rahsia negara," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu ruang yang lebih mudah untuk rakyat mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai mengenai rahsia negara, Rais berkata perkara itu akan diteliti.

"Dalam hal menentukan boleh atau tidak sesuatu kumpulan data dan maklumat itu diberi kepada umum, sesungguhnya objektiviti menjadi ukuran dan kementerian melihat perkara ini dari segi kesejagatan dan tuntutan kerahsiaan negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain