suria

Kerajaan Sentiasa Adil Kepada Pelabur Tempatan - Mustapa

KUALA LUMPUR: Persepsi umum yang menggambarkan bahawa kerajaan memberi layanan yang lebih istimewa kepada pelabur asing berbanding pelabur tempatan adalah tidak benar, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi layanan yang sama rata kepada pelabur tempatan dan pelabur asing bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Pelabur asing diberikan galakan berdasarkan kepada jenis industri seperti industri yang strategik, bidang-bidang baharu dan berteknologi tinggi seperti sektor sumber tenaga alternatif, elektronik canggih, bioteknologi, fotonik, peralatan perubatan, aero angkasa dan petrokimia," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu langkah dan insentif kementerian untuk merangsang Pelaburan Langsung Domestik (DDI) seiring dengan keistimewaan yang diberikan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) serta usaha untuk meningkatkan FDI disebabkan kekurangan tenaga mahir, teknologi di tahap rendah, karenah birokrasi dan industri kecil sederhana tidak matang.

Mustapa berkata menyedari terdapat persepsi perbezaan di antara DDI dan FDI, kerajaan sedang mengkaji beberapa cadangan untuk membantu pelabur domestik bagi meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Mustapa berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti cadangan penggalakan itu sebelum mengemukakan perakuan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan menyasarkan pelaburan swasta menyumbang 92 peratus daripada RM1.4 trilion pelaburan untuk 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dari 2010 hingga 2020.

"Daripada jumlah pelaburan swasta itu, DDI disasar menyumbang 73 peratus manakala FDI 27 peratus," katanya. Mustapa berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), kerajaan menyasarkan purata pelaburan RM115 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2015 dengan RM83 bilion disasarkan pada tahun lepas.

Katanya kemasukan FDI pada tahun lalu berjumlah RM32.9 bilion, yang meningkat berbanding 29.3 bilion pada 2010, dan RM5 bilion pada 2009.

"Ini adalah satu peningkatan yang amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa Malaysia masih kekal sebagai sebuah destinasi yang berdaya saing dalam pelaburan asing," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain