suria

Kerajaan Akan Cari Penyelesaian Terbaik Isu Pampasan - TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd yakin kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu pampasan untuk faedah semua, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

"Kami mencari penyelesaian kepada masalah itu. Semua pihak yang terlibat faham. Saya tidak rasa kami perlu bimbang. Yang pastinya, Tenaga percaya kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik bagi faedah setiap pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan Kempen Kesedaran Earth Hour 2012 TNB WWF-Malaysia.

Sementara itu, Pengerusinya Tan Sri Leo Moggie berkata isu itu akan diselesaikan oleh kerajaan.

"Kerajaan berperanan untuk menentukan kaedah dan pembayaran bagi harga gas bagi memastikan bekalan berterusan elektrik di negara ini," katanya sambil menambah syarikat utiliti itu telah menyuarakan pandangannya semasa perbincangan dengan kerajaan.

"Kerajaan juga sensitif dengan isu bekalan elektrik...bagaimana ia harus memastikan bekalan pada setiap masa dan harga yang sesuai dengan pengguna.

"Oleh itu, perkara ini merupakan sebahagian daripada isu yang kerajaan perlu meneliti dengan terperinci. Ia bukan pendirian satu pihak sahaja. Ini bukan antara TNB dan Petronas. Kerajaan akan menyelesaikan perkara itu," kata Moggie.

Minggu lepas, Petronas berkata ia tidak akan lagi membayar pampasan kepada Tenaga bagi kos bahan api alternatif yang digunakan oleh syarikat utiliti kuasa nasional itu.

Petronas berkata pembayaran RM1 bilion sepatutnya merupakan bayaran "sekali" sahaja dan tidak pernah menyebut ia akan menjadi bayaran berterusan kepada syarikat utiliti itu.

Mengenai Kempen Kesedaran Earth Hour 2012 TNB WWF-Malaysia, yang bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan 'Earth Hour', Moggie berkata ia tidak akan berjaya tanpa penyertaan orang awam Malaysia. Justeru itu, Moggie berkata Tenaga mahu mempelawa dan menggalakkan semua rakyat Malaysia mengunjungi pusat perkhidmatan pelanggan terpilihnya dan memberikan sokongan bagi kempen Earth Hour dan menutup lampu mereka selama sejam pada 8.30 malam, 31 Mac.

Moggie berkata data penggunaan elektrik semasa tempoh "tutup lampu" sejam Earth Hour sejak tiga tahun lepas menunjukkan penurunan penyertaan awam dengan 2011 menunjukkan penggunaan elektrik turun hanya 113 MW berbanding 203 MW pada 2010 dan 550 MW pada 2009. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain