suria

Kementerian Pengangkutan Tidak Terima Sebarang Maklumat Pembatalan Pertukaran Saham MAS-AirAsia

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai pembatalan janji niaga yang melibatkan pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan Air Asia seperti yang dilaporkan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa bantahan keras daripada kakitangan MAS terhadap pertukaran saham telah menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menimbang opsyen menyelesaikan janji niaga itu.

Kong berkata sebarang keputusan mengenai isu itu perlu dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit bersama dengan Khazanah.

"Pada masa ini, kementerian, masih belum menerima sebarang keputusan muktamad atau maklumat mengenai laporan itu," katanya kepada pemberita di luar Simposium Kargo Dunia, yang dianjurkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Mengenai pembatalan laluan oleh syarikat penerbangan, beliau berkata mereka perlu memaklumkan kepada kementerian setiap kali mereka mengambil keputusan untuk membatal atau menambah mana-mana laluan kepada perkhidmatan.

"Syarikat penerbangan juga perlu menyelesaikan semua isu, termasuk jualan tiket terlebih dahulu, sebelum membatalkan laluan.

"Di mana mereka mahu terbang dan berapa banyak kali, tambahan destinasi dan pembatalan laluan, adalah keputusan perniagaan sesebuah syarikat penerbangan.

"Tetapi setiap kali mereka menamat atau menambah mana-mana laluan, mereka perlu memaklumkan kepada kami," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis permeterian memorandum persefahaman bagi Program Fret Terjamin antara IATA dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.

Dalam ucapan beliau, Kong berkata MASkargo, DCA, Malaysia Airports dan IATA bekerjasama rapat dengan peserta industri untuk memperkenalkan program tersebut.

"Malaysia merupakan negara perintis bagi program fret terjamin.

"Hasil daripada kerjasama rapat ini akan memberi faedah kepada banyak peserta industri kerana ia mengurangkan kesulitan dan kos keselamatan kargo udara, serta memastikan rantaian bekalan pemegang kepentingan beroperasi dalam hala tuju yang sama," katanya.

Kong menegaskan bahawa Malaysia komited bekerjasama dengan industri bukan sahaja dalam mengurangkan pelbagai kos tetapi juga menambah baik kecekapan dan pemudahan pergerakan penumpang dan fret di semua lapangan terbang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain