suria

Dua Lelaki Ditahan Berhubung Pembunuhan Di Puchong

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan dua beranak di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata lelaki berusia 18 dan 20-an itu ditahan di sebuah kedai makan di Pandan Indah pada 6 petang Isnin.

Mereka ditahan reman sehingga 20 Mac bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Abdul Razak berkata polis belum menerima keputusan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur ke atas mayat pensyarah kolej swasta Zara Eleena, 23, dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56.

Katanya pasukan forensik masih melakukan siasatan dan pemeriksaan di rumah mangsa selain mengesan kereta Perodua Kenari milik Zara Eleena yang hilang dalam kejadian itu.

Zara Eleena ditemui mati di atas lantai dalam sebuah bilik manakala Omar Peter pula ditemui terlentang di atas katil dalam bilik utama rumah teres setingkat itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain