suria

Usahasama DRB-Hicom, Volkswagen Transformasi Pekan Jadi Hab Automotif Terkenal

PEKAN: Pelbagai usaha kerjasama antara DRB-HICOM Berhad dan Volkswagen akan mentransformasikan Pekan menjadi hab automotif terkenal di dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu secara langsung dan tidak langsung mendatangkan pelbagai manfaat kepada penduduk tempatan kerana mewujudkan banyak peluang pekerjaan sekaligus meningkatkan pendapatan warga Pekan.

"Saya yakin pelbagai usahasama yang dijalankan kedua-dua syarikat ini akan menjadikan Pekan sebagai hab automotif terkenal di dunia terutama bagi kerja pemasangan kereta, pembuatan dan komponen automotif serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) automotif," kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Volkswagen Passat pemasangan tempatan di Kompleks Automotif DRB-HICOM di sini, Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi DRB-HICOM Berhad Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Najib berkata, kerjasama yang dijalin sejak Disember 2010 itu membuka 3,300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya rakyat Pekan.

"Usahasama ini juga menyuntik pelaburan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh empat tahun di mana ia akan memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan," kata beliau. Perdana Menteri berkata, pelancaran Volkswagen Passat pemasangan tempatan hari ini melakar satu lagi sejarah penting dalam industri automotif negara dan beliau berharap ia akan menjadi contoh perkongsian berjaya oleh sebuah syarikat tempatan dengan syarikat luar.

Perkongsian itu, kata beliau akan membantu menaikkan industri automotif tempatan ke tahap lebih tinggi selaras usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merajui hab automotif serantau.

"Saya dimaklumkan, sejumlah 300 unit Volkswagen Passat pemasangan tempatan telah dipasang di kompleks di Pekan dan kenderaan ini mengikut standard kualiti ketat yang ditetapkan DRB-HICOM dan Volkswagen.

"Saya turut dimaklumkan beberapa model Volkswagen yang lain juga akan dipasang di sini seperti Polo dan Jetta dalam masa terdekat ini dan saya harap ia akan direalisasikan," kata Najib.

Beliau turut berkongsi rasa terujanya ketika memandu uji Volkswagen Passat dengan 1,000 hadirin, di mana kualiti kenderaan itu amat baik.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata selain sebagai hab automotif, Pekan juga sedang dibangunkan bagi menjadi sebahagian kelompok bandar yang merangkumi Kuantan, Gambang, Gebeng yang akan mengikut langkah pengelompokan bandar-bandar utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Setakat ini, kata beliau, kerajaan telah membuat pelbagai pelaburan ke arah meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Pekan.

"Taman Automotif Pekan contohnya, akan menjadi pemangkin dalam usaha kerajaan menarik sasaran pelaburan iaitu RM4.5 bilion yang dijangka mewujudkan 10,580 peluang pekerjaan dan akan menyumbang RM12 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar menjelang 2015," kata beliau.

Najib dalam pada itu mengingatkan industri automotif supaya semasa mengekalkan daya saing, mereka perlu melakukan penstrukturan semula bagi menghasilkan volum kereta secara besar-besaran.

"Apabila volum pengeluaran mencapai tahap yang sesuai, ia akan menggalakkan peningkatan pelaburan, tenaga kerja dan kemajuan R&D," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain