suria

Tiga Kanak-Kanak & Warga Emas Nyaris Maut Dalam Kemalangan

KUALA TERENGGANU: Tindakan pantas seorang pendawai elektrik telah dapat menyelamatkan tiga anak lelakinya yang sedang nyenyak tidur dan seorang warga emas yang tidak mampu berjalan, apabila rumah mereka di Kampung Pengkalan Maras di sini, hangus dijilat api.

Che Fauzi Ibrahim, 39, berkata beliau bergegas membangunkan tiga anaknya berumur 11, enam dan tiga tahun yang sedang tidur selepas mendengar jeritan jirannya, Fatimah Taib, 90.

"Apabila mendengar jeritan itu, saya keluar rumah dan lihat api sedang marak membakar rumah itu. Saya terus menyelamatkan anak-anak saya sebelum mendukung mak cik Fatimah keluar rumah," katanya.

Hanya dalam beberapa minit sahaja rumah yang didiami Fatimah bersama anak saudaranya, yang semasa kejadian pergi ke kedai membeli makanan, hangus dijilat api.

Rumah Che Fauzi yang dipisahkan dinding dengan rumah warga emas itu turut hangus dalam kejadian itu.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, Fatimah berkata ketika berada di ruangan dapur, dia tiba-tiba terhidu bau hangit dan hanya mampu menjerit selepas melihat api dari salah sebuah bilik di rumah itu.

Katanya bBeliau bersyukur kerana jeritannya didengari jirannya sebelum menyelamatkannya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Kuala Terengganu Roslan Mat Din ketika dihubungi berkata dua jentera bomba bersama 11 anggota yang dihantar ke tempat kejadian dapat mengawal kebakaran daripada merebak dalam masa 17 minit. -BERNAMA

Artikel Lain