suria

Polis Tahan 30 Orang Leka Main Judi Sabung Ayam

SHAH ALAM: Polis menahan 26 lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan yang sedang asyik bermain judi sabung ayam di sebuah hutan berhampiran landasan keretapi Stesen Komuter Padang Jawa, Ahad.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor Deputi Superintenden Izwan Abd Karim berkata penahanan itu dibuat kira-kira 11.30 pagi hasil intipan yang mendapati suspek sering berkumpul dan berjudi pada hujung minggu.

Beliau berkata turut ditahan seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai penjual minuman dari gerai berdekatan.

"Kita percaya mereka yang ditahan melakukan penawaran sehingga RM1,000 setiap kali pertarungan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Izwan berkata siasatan awal polis mendapati dua daripada 11 ekor ayam yang digunakan dalam pertarungan mati, dipercayai akibat cedera.

"Selain judi ayam, mereka juga didapati bermain judi bola golek dan judi belangkas berdasarkan penemuan set permainan itu di lokasi serbuan," katanya sambil menambah suspek berusia lingkungan 26 hingga 50 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Haiwan 1962. - BERNAMA

Artikel Lain