suria

Penyebaran Fitnah Terhadap Hakim Boleh Dianggap Hina Mahkamah

PUTRAJAYA: Penyebaran kenyataan, komen atau artikel yang berunsur fitnah terhadap hakim boleh tergolong dan dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Mohd Aizuddin Zolkeply berkata sehubungan itu, penulis yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kernaan menghina mahkamah dan dihukum mengikut undang-undang berkaitan.

"Terdapat saluran dan jalan yang betul di sisi undang-undang untuk mengadu sekiranya terdapat salah laku hakim, dan bukannya melalui penyebaran kenyataan, komen atau artikel berunsur fitnah, yang boleh mengelirukan masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau juga berkata satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Rihaida Rafie pada 8 Mac lepas terhadap penulis blog yang didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Tuan Anantham Kasinather.

Katanya, kenyataan berunsur fitnah itu turut disiarkan dalam beberapa blog seperti di http://www.papagomo.com.

Aizuddin berkata penulis blog itu turut mengaitkan hakim lain berhubung dakwaan terdapat campur tangan dalam kes melibatkan syarikat Magic Telekom Sdn Bhd dan Numix Engineering Sdn Bhd.

"Badan Kehakiman Malaysia memandang serius perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej badan kehakiman negara, terutamanya melalui penulisan dan komen-komen tidak berasas, yang berniat menjatuhkan imej dan integriti hakim-hakim," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menghormati badan kehakiman negara sebagai sebuah institusi yang menegakkan keadilan. - BERNAMA

Artikel Lain