Operator Syarikat Keselamatan Mati Ditembak Ketika Sedang Makan Malam - Semasa | mStar

Operator Syarikat Keselamatan Mati Ditembak Ketika Sedang Makan Malam

KLANG: Seorang operator syarikat keselamatan ditembak mati dipercayai dari jarak dekat ketika sedang makan malam bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di Jalan Chengkih, Padamaran di sini, semalam.

Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan penjenayah secara terancang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Supt Azman Abd Razak berkata, dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai V.Nirmal, 30, ditembak di rusuk dan bahu kiri sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketika kejadian itu berlaku, Nirmal bersama rakan-rakannya sedang makan apabila dua lelaki yang memakai topeng ski dengan menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya di pintu masuk restoran itu.

"Dua tembakan mengenai mangsa sementara rakan-rakannya yang lain cuba mencari tempat berlindung. Tembakan yang dilepaskan penyerang itu juga terkena pergelangan kaki seorang wanita berumur 35 tahun yang sedang makan bersama keluarganya semasa kejadian itu berlaku.

"Wanita itu dilaporkan dalam keadaan stabil selepas dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Azman berkata, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menghala ke jalan utama selepas menembak mangsa.

Katanya, polis sedang menyiasat sama ada mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan motif kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital (HTAR) Klang untuk dibedah siasat dan telah dituntut keluarganya selepas itu.-BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain