suria

Kes Kematian Pensyarah & Bapanya Mungkin Dilakukan Oleh Orang Yang Dikenali Mangsa

KUALA LUMPUR: Kes pembunuhan dua beranak melibatkan seorang pensyarah dan bapanya yang mayat mereka ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi, berkemungkinan dilakukan oleh 'orang dalam'.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias berkata, berdasarkan siasatan awal, polis belum menemui kesan kecederaan seperti kesan tikaman dan kesan pergelutan atau mangsa diserang dengan objek tajam.

Abd Razak berkata, mangsa Zara Eleena Omar Peter, 23, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam tadi.

Beliau berkata, hanya kesan pendarahan dalaman yang dipercayai menyebabkan darah terkeluar daripada mulut pensyarah wanita itu, manakala kesan darah juga ditemui pada bapa wanita itu.

"Kita masih menunggu laporan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengesahkan sama ada mangsa diracun atau dibunuh dengan cara lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan rumah mangsa disamun dan dipecah masuk.

Kedua-dua mangsa dipercayai mati sekurang-kurangnya empat hari lalu di mana mayat Zara Eleena ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai dengan kesan darah di mulut, manakala mayat bapanya ditemui tertiarap di katil dengan beberapa kesan darah ditemui di rumah mereka.

Menurut saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali, Zara dan bapanya merupakan seorang yang peramah dengan saudara-mara dan tidak mempunyai masalah dengan orang lain.

"Saya selalu melawat Zara, sebab dia tinggal seorang diri di rumahnya dan saya dapati dia tidak mempunyai sebarang masalah...saya difahamkan sebelum kejadian ini Zara ada menelefon bapanya mengatakan beliau mengalami sakit perut lalu bapanya datang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya itu dan dari situ tiada khabar berita mengenai mereka," katanya ketika ditemui di HKL.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Lain