suria

Jakim & SKMM Sentiasa Pantau Aktiviti LGBT Di Laman Media

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa bekerjasama memantau aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini, khususnya di laman media.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata kerjasama itu dijalinkan menerusi sebuah jawatankuasa yang turut dianggotai jabatan tersebut dan SKMM.

"Kita ada pegawai yang sentiasa memantau laman-laman web yang cuba menyebar dan menyokong LGBT di negara ini. Kita turut menerima laporan daripada orang ramai.

"Jika kita dapati ada perkara tidak sesuai dalam laman web tersebut, maklumat akan disalurkan kepada jawatankuasa berkenaan untuk diambil tindakan," katanya selepas sidang akhbar program realiti 'Adik-Adikku' musim ketiga pada Isnin.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai peningkatan golongan yang menjalin hubungan sesama jenis di kalangan LGBT, selain kewujudan kumpulan penyokong pergerakan itu di negara ini melalui laman sosial.

Othman juga berkata bagi mengekang penularan LGBT di negara ini, masyarakat perlu memainkan peranan dengan melapor kepada Jakim.

"Mereka juga boleh membantu dengan membawa mereka yang terlibat kepada orang yang boleh memberi nasihat," katanya.

Beliau berkata Jakim juga sentiasa berusaha mendekati kumpulan itu untuk menangani masalah amalan songsang tersebut.

"Kita ada program berkala bersama golongan ini... dan ramai juga yang terlibat dalam program ini," katanya yang tidak menolak kemungkinan dakwah itu tidak sampai kepada mereka.

Othman berkata golongan LGBT, yang hanya bergaul sesama sendiri,turut menyukarkan proses penyampaian dakwah kepada mereka. -BERNAMA

Artikel Lain