suria

Cadangan Tukar Nama Bukit Gasing Kepada Bukit Kerinchi

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) bercadang menukar nama Bukit Gasing yang terletak di sebelah Lembah Pantai di sini kepada Bukit Kerinchi.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ia bagi mengelak kekeliruan dengan Bukit Gasing bahagian sebelah Petaling Jaya dalam negeri Selangor.

"Saya sudah meminta pegawai undang-undang kita mengkaji isu ini dan diberitahu kita boleh melakukannya, cuma perlu ikut beberapa prosedur berkaitan isu penukaran nama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar di sini, Ahad.

Raja Nong Chik berkata, isu alam sekitar tidak harus dijadikan wadah politik pihak tertentu.

Beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sendiri tidak sesekali menggunakan isu alam sekitar untuk berpolitik, kerana ia merupakan aset penting untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Selain itu, Raja Nong Chik menolak andaian bahawa Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP-1Malaysia) hanya menguntungkan golongan kontraktor tertentu sahaja.

"Program ini sangat jelas dan menteri dan pihak lain tidak sama sekali campur tangan dalam urusan pemilihan kontraktor," katanya merujuk kepada program tersebut bertujuan membantu menyelenggara flat dan rumah kos rendah.

Menteri itu berkata, pelaksanaan kerja baik pulih dan penyelenggaraan dilakukan menerusi tender terbuka mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain