suria

ATM Tetap Hantar Pasukan Pemantau Ke Filipina Selepas Perjanjian Damai

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menghantar Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M) ke Filipina walaupun kerajaan negara itu dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bakal menandatangani perjanjian damai tidak lama lagi.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata sekiranya kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian damai itu, ini bukan bermaksud tugas TPA-M selesai sepenuhnya.

"Setakat ini, Alhamdulillah, saya lihat perjanjian genjatan senjata dipatuhi kedua-dua pihak. Tidak ada pertempuran mahupun konflik. Ini menggalakkan proses damai dan perundingan yang baik antara Filipina dan MILF.

"Walaupun perjanjian perdamaian dijangka ditandatangani dalam waktu penghantaran TPA-M7 ini, namun itu tidak semestinya tugas Tim ini selesai, mungkin ia masih perlukan pemantauan agar kedua-dua pihak patuhi syarat-syarat yang dibuat dalam perjanjian yang ditandatangani itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penghantaran TPA-M7 di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Penghantaran TPA-M7 adalah untuk menggantikan TPA-M6 yang telah bertugas selama setahun mulai 12 Mac tahun lepas.

Mereka akan menjalankan tugas pemantauan selain mengawasi proses genjatan senjata bagi mewujudkan suasana lebih kondusif untuk proses perdamaian antara kerajaan Filipina dan MILF.

Penglibatan ATM sebagai TPA-M bermula 9 September 2004 bagi memenuhi hasrat kerajaan Filipina untuk membantu mengawasi genjatan senjata serta perjanjian damai antara kedua-dua belah pihak.

Pergerakan TPA-M7 pada hari ini iaitu kumpulan induk diketuai oleh Brid Jen Datuk Zulkapli Mohd Nooran berlepas ke Mindanao, Filipina menggunakan pesawat Hercules C-130, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ia membabitkan 12 anggota iaitu sembilan anggota ATM dan tiga pegawai Polis Diraja Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain