suria

Polis Masih Buru Tiga Suspek Penjenayah Lari Sekatan Polis

KOTA BHARU: Polis masih memburu tiga lelaki disyaki terlibat kes dadah yang melepaskan diri daripada sekatan polis di Jalan Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Superitendan Haliludin Rahim berkata, mereka dipercayai masih berada di negeri ini dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan kesemua suspek.

Dalam kejadian Khamis lepas, dua daripada rakan suspek yang berumur 21 dan 36 tahun ditahan apabila kereta dinaiki mereka terbabas selepas dikejar polis pada kira-kira 9 pagi.

Sebelum ditahan, kenderaan itu melanggar kaki seorang anggota polis yang cuba menahannya, sebelum pemandu memecut kenderaan dalam usaha meloloskan diri, katanya kepada Bernama.

Haliludin berkata, penumpang sebelah pemandu dikatakan cuba mengacukan pistol ke arah anggota polis yang menahan mereka sebelum kereta itu dipecut dan terbabas ketika dikejar polis.

Dalam kejadian itu, polis menemui sepucuk pistol, dua bilah parang, satu kelongsong peluru serta satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah dalam kenderaan itu.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan lelaki itu ada kaitan dengan beberapa kes tembak dan membakar kereta di Pasir Mas dan Kok Lanas sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain