suria

Pekerja Ladang Ternakan Ikan Maut Ditetak Rakan Sekerja

TUARAN: Seorang lelaki tempatan maut akibat tikaman di bahagian badan oleh rakan sekerjanya di sebuah ladang ternakan ikan dan udang di Kampung Lok Batik, dekat sini awal hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Zaharuddin Rasip berkata mangsa yang dikenali sebagai Stanley John, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa dipercayai ditetak dan ditikam dengan sebilah parang di bahagian badan dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi.

"Polis menemui mayat mangsa di halaman pejabat pengurusan ladang ternakan itu. Suspek yang dipercayai warga Filipina berusia 43 tahun melarikan diri ke dalam hutan bakau berhampiran ladang itu, dan polis telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk memburu suspek," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Zaharuddin berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal menunjukkan berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa sebelum kejadian, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain