suria

Dua Terbunuh, 10 Cedera Dalam Kemalangan Di Lebuh Raya Dekat Parit Buntar

IPOH: Dua terbunuh, manakala sepuluh cedera apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dalam kemalangan di Km 181. 5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Parit Buntar pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan berkata, dua penumpang dalam kenderaan yang sama, yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan, mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Sepuluh lagi penumpung kedua-dua buah kenderaan termasuk seorang pemandu salah sebuah kenderaan itu cedera dan dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 7.10 pagi apabila kereta jenis Toyota Estima yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Alphard.

Ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Selatan ke Utara.

Katanya, identiti mangsa yang meninggal dunia dan yang masih dirawat masih belum diketahui dan polis sedang menyiasat. - BERNAMA

Artikel Lain