suria

Treler Rosak, KL Sesak Luar Biasa Selama 9 Jam

KUALA LUMPUR: Kesesakan teruk di laluan masuk ke bandaraya dari arah selatan berlaku selama sembilan jam pada Jumaat akibat tayar belakang sebuah treler yang membawa batang besi pecah di Jalan Tun Razak-Seremban, dekat Bulatan Kampung Pandan, di sini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor berkata, kejadian ke atas treler itu yang berlaku pada 7.00 pagi menyebabkan hanya satu lorong masuk ke ibu negara di jalan itu boleh dilalui kenderaan hingga mencetuskan kesesakan teruk.

"Selepas itu sebuah van telah merempuh belakang treler itu, tetapi ia hanya kemalangan kecil. Namun ia terus memburukkan lagi keadaan trafik di situ," katanya ketika ditemui Bernama.

Kesesakan itu mengganggu beratus-ratus orang yang keluar pagi ini untuk bekerja di ibu kota, terutama mereka yang datang dari arah selatan termasuk Seremban.

Beliau berkata pihak polis cuba mengalihkan lori itu dengan meminta bantuan lori penarik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, namun disebabkan kerosakan sistem brek angin serta muatan batang-batang besi yang berat operasi mengalihkan lori itu tidak dapat dijalankan.

Kesesakan luar biasa itu berlarutan hingga 3.00 petang Jumaat dengaa polis mengawal lalu lintas, kata Rusli. "Sehingga malam tadi lori itu masih belum dapat dialihkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain