suria

SUPP Sibu Ketengah Muka Baru

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu akan mengetengahkan muka baru untuk menawan semula kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Muka baru itu ialah ahli korporat dan pemimpin masyarakat Cina terkemuka di sini, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Meng.

Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat cawangan yang dipengerusikan oleh Datuk Sri Wong Soon Koh di ibu pejabat parti itu di sini, Sabtu.

Kesemua 15 ketua unit di bawah cawangan tersebut hadir pada mesyuarat itu.

Wong berkata pemilihan Lau telah mendapat sokongan sebulat suara dan malah turut disokong sepenuhnya oleh ahlinya yang terdiri daripada masyarakat Bumiputera.

"Adalah penting bagi SUPP untuk memilih calon boleh menang dan kita berpendapat Lau boleh membantu (merampas semula kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang)," katanya kepada pemberita.

Selain itu, katanya mesyuarat turut memutuskan untuk mengekalkan penyandang kerusi Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu untuk bertanding mempertahankan kerusi itu pada PRU-13.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak dan anggota Dewan Undangan Negeri Bawang Assan berkata nama kedua-dua calon itu akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dengan kadar segera.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010, pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng mengalahkan calon SUPP Robert Lau Hui Yew dengan majoriti kecil 398 undi.

Kawasan itu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar. BERNAMA

Artikel Lain