suria

MTSU Kecewa Batal SPBA: Cuepacs Akan Bincang Dengan KSN Bagi Pihak Kesatuan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan keputusan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi pihak kesatuan yang tidak berpuashati dengan keputusan itu.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU), salah satu gabungan khas Cuepacs pada Jumaat yang kecewa dengan pemansuhan SPBA.

MTSU menganggap keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis itu sebagai satu langkah yang mengundur ke belakang.

Omar berkata: “Pembatalan SBPA bukan kehendak Cuepacs (dan) bukan Cuepacs yang membatalkan SBPA. Kita tidak ada kuasa.”

Beliau menjelaskan, Cuepacs sebelum ini hanya membentangkan beberapa tuntutan dan membincangkan perkara-perkara yang tidak dipersetujui.

“Kita tahu mereka tidak berpuas hati, kita pun tidak bersetuju. Sebab itu, Cuepacs meminta supaya gred-gred yang sudah dinaikkan bagi kumpulan teknikal dikekalkan di bawah SSM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas kongres Cuepacs di sini, Jumaat.

Menurut Omar, gred penjawat awam bagi kumpulan teknikal seperti jawatan juruteknik dinaikkan dari N17 kepada N27.

“Ia (kenaikan gred) merupakan tuntutan yang sudah lama dibuat. Oleh itu, kita minta supaya gred berkenaan dikekalkan dalam SSM (Sistem Saraan Malaysia).

“Saya harap supaya mereka (MTSU) jelas terhadap perkara ini. Sebab itu, kita mengadakan mesyuarat khas kongres Cuepacs hari ini bagi membincangkan perkara-perkara yang diumumkan perdana menteri semalam,” katanya.

Setiausaha Agung MTSU, Samuel Devadasan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, SPBA sebelum ini lebih menjanjikan satu sistem gaji yang lebih menarik, tidak seperti SSM yang sudah lama diguna pakai.

“Telah menjadi pendirian Cuepacs selama ini untuk menamatkan SSM dan kami difahamkan satu MoU (memorandum persefahaman) antara Cuepacs dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah ditandatangani pada 28 Disember lalu.

“Kami mahu pihak-pihak yang terlibat mendedahkan isi kandungan MoU berkenaan kerana difahamkan pakej yang dibincangkan lebih menarik," katanya.

Najib dalam perjumpaan khas bersama penjawat awam pada Khamis mengumumkan bahawa golongan itu selepas ini akan tertakluk kepada SSM selepas memutuskan untuk memansuhkan SBPA yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu.

Samuel berkata, MTSU merayu kepada Najib agar SPBA dikekalkan dengan penambahbaikan supaya borang opsyen, memilih antara SPBA dan SSM, yang ditandatangani Januari lalu dihormati.

"SPBA telah memberi semangat baru kepada ramai penjawat awam. MTSU berharap agar SPBA dapat dilaksanakan dan SSM dibatalkan," katanya.

Artikel Lain