suria

Mangsa Banjir Dapat Bekalan Air Bersih Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Kampung Lembah Jaya Utara dijangka memperolehi semula bekalan air esok sebaik sahaja kerja membersih loji sedutan air selesai dijalankan.

Ketua Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Datuk Ruslan Hassan berkata kerja pembersihan Loji Ampang Intake sudah mula dijalankan sejak semalam yang mengambil masa 24 jam sebelum boleh mula beroperasi secara berperingkat.

"Loji berkenaan adalah loji tua dan tidak boleh menggunakan jentera berat membersihkannya, jadi terpaksa tenaga manusia digunakan untuk membuang lumpur yang masuk ke dalam tapisan air. "Dua daripada lima tapisan air di loji tersebut boleh mula beroperasi secara berperingkat hari ini dan tiga lagi siap dalam masa 24 jam akan datang, sekaligus mampu menampung 50 peratus keperluan mangsa banjir berkenaan," katanya kepada pemberita di program gotong royong membantu mangsa banjir pada Sabtu.

Seramai 500 orang kakitangan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syabas menyertai kerja gotong royong membersihkan kawasan yang dilanda banjir itu.

Syabas menghantar 15 lori tangki berkapasiti 1,200 liter untuk membantu kerja gotong royong selain menyerahkan 400 botol air minuman kepada mangsa tersebut.

Ruslan menafikan dakwaan bahawa banjir baru-baru ini disebabkan kegagalan PNSB memantau atau menguruskan empangan.

"Banyak kenyataan dikeluarkan menerusi akhbar. Ingin dijelaskan bahawa kawasan di sini tiada empangan. Apa yang sebenarnya terjadi kerana di sini adalah kawasan tadahan air yang besar.

"Hujan yang begitu lebat menyebabkan limpahan ke kawasan perkampungan tersebut,"katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) telah menyumbangkan bantuan minuman dan makanan sejak tiga hari lalu. BERNAMA

Artikel Lain