suria

Kes Kehilangan Nurul: Polis Johor Tahan Seorang Lagi Lelaki

JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan seorang lagi lelaki untuk membantu menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak perempuan Nurul Nadirah Abdullah, sejak 1 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di Seri Alam pukul 4 petang semalam.

"Kita tahan lelaki tersebut untuk membantu siasatan," katanya ketika ditemui semasa perasmian Sekolah Agama Taman Molek oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Jumaat.

Polis sebelum ini dilapor menahan reman dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 36 dan 40 tahun sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilapor berkata berdasarkan bukti kukuh, polis percaya kanak-kanak itu masih hidup.

Nurul Nadirah, 5, yang dikenali sebagai Dirang didapati hilang selepas keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Jalan Suri, Bandar Seri Alam, kira-kira pukul 11 pagi.-BERNAMA

Artikel Lain