suria

Kedai Baiki, Jual Alat Ganti Kereta Terbakar

GEORGE TOWN: Sebuah kedai membaiki dan menjual alat ganti kereta di Lebuh Carnarvon di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi dengan anggaran kerugian ratusan ribu ringgit.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.45 tengah malam sebelum empat jentera bomba dan 21 anggota dari balai Lebuh Pantai dan Jalan Perak tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Api marak dan merebak dengan pantas menyebabkan struktur binaan konkrit itu seratus peratus terbakar dan tiada satupun barangan dapat diselamatkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Ismail yang mengetuai operasi itu berkata api dapat dikawal kira-kira 15 minit dan pihaknya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memadam kebakaran sepenuhnya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari litar pintas. - BERNAMA

Artikel Lain