suria

Jamil Diberi Seminggu Perjelas Isu Zakat - PAS

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS, pada Jumaat, mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir menjawab segera persoalan berhubung dakwaan penyelewengan urus tadbir zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, Jamil Khir diberi masa seminggu untuk menjelaskan isu berkenaan.

Katanya, sekiranya beliau gagal berbuat demikian pihaknya akan membuat laporan terhadap pihak berkuasa.

“Kami beri tempoh seminggu, jika masih mendiamkan diri dan tidak beri jawapan yang memuaskan hati umat Islam, kami akan buat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini”, tegasnya kepada mStar Online, Jumaat.

Kamaruzaman selaku Pengarah Pasukan Petugas Zakat Dewan Pemuda PAS berkata, desakan ini dibuat kerana Jamil Khir selaku pengerusi MAIWP dan Yayasan Taqwa enggan menjawab persoalan ditimbulkan Pemuda PAS berhubung isu kelulusan peruntukan wang zakat RM4 juta yang melebihi jumlah asal dipohon iaitu RM1 juta.

"Kita juga tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan beliau dalam siri pendedahan penyelewengan wang zakat terdahulu kerana 'terlalu umum'," jelasnya.

Kamaruzaman menjelaskan, surat untuk mengadakan pertemuan dengan Jamil Khir sendiri telah dihantar bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung isu-isu zakat yang timbul tetapi gagal mencapai kesepakatan oleh kedua-dua pihak.

"Beliau sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap dua pertubuhan ini dan kita minta beliau sendirilah yang jawab dan beri penjelasan.

"Kita minta penjelasan kenapa peruntukan yang diluluskan lebih dari yang dipohon? Ke mana pula wang RM4 juta itu dibelanjakan? Dan sila dedahkan segera audit dalaman Yayasan Taqwa segera”, tegas beliau.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ini berkata, pihaknya mempunyai dua dokumen berkaitan transaksi wang zakat ke yayasan tersebut iaitu surat permohonan dan surat kelulusan yang telah didedahkan pada sidang media, Jumaat.

Dokumen tersebut menjelaskan berlakunya permohonan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Baitulmal terhadap permohonan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan melalui Pengurus Besar Yayasan Taqwa Ahmad Ayob Ibrahim dengan pertambahan kepada RM4 juta daripada RM1 juta yang dipohon.

“Pada kami, transaksi seperti ini mengandungi 'conflict of interest' dan perlanggaran kepada konsep urus tadbir yang baik.

"Orang yang sama luluskan...orang yang sama guna (duit)," katanya.

Selain itu, pihaknya turut mendesak agar Yayasan Taqwa ditutup dan fungsinya dikembalikan semula kepada Baitulmal yang berperanan selaku pengurus dan juga pengagih kepada wang zakat.

"Tidak perlu ada Yayasan Taqwa kerana sudah ada Baitulmal.

"Sampai RM2 juta diperlukan untuk biaya kos pengurusan Yayasan Taqwa ini. Kita andaikan kalau dipecahkan kepada aRM5 ribu untuk diagihkan, hampir 400 orang akan dapat manfaat dari jumlah RM2 juta ini," katanya.

Artikel Lain