suria

Berdamai Boleh Tapi Tidak Menerusi Jalan Pintas - William

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sedia berdamai dengan lima wakil rakyat, yang telah dipecat atau meninggalkan parti itu, demi kepentingan Barisan Nasional (BN) dan parti, kata presidennya, Tan Sri William Mawan. Mawan berkata beliau bersetuju dengan hasrat Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud agar kelima-lima mereka kembali ke dalam parti, namun proses itu tidak harus mengetepikan syarat-syarat asas parti dan BN.

"Jika kita mengikuti jalan pintas untuk menyelesaikannya, maka kita akan berdepan dengan masalah lebih besar. Ia seperti lari dari mulut buaya masuk ke mulut harimau," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti di sini, Sabtu.

Taib, yang juga pengerusi BN Sarawak, semalam mencadangkan agar kelima-lima mereka Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, dan Adun-adun Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau) diberikan masa untuk berdamai dengan SPDP.

Taib berkata mereka tidak harus ditinggalkan bersendirian kerana mereka tetap setia kepada BN sekalipun tidak lagi menjadi anggota SPDP, yang merupakan parti komponen BN negeri. Menyentuh cakap-cakap yang mengatakan kumpulan lima itu akan membentuk sebuah parti baru, Mawan berkata itu hak mereka tetapi SPDP akan terang-terang menolak rancangan parti baru itu, jika dibentuk, untuk menyertai BN.

"Untuk menyertai Barisan Nasional mestilah diterima secara sepakat oleh semua anggota komponen dan jawapan kami (SPDP) ialah "tidak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain