suria

Terowong SMART Akan Dibuka Sebelum Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Terowong Lebuhraya SMART, yang ditutup kepada lalu lintas sejak Rabu lalu, dijangka dibuka semula kepada pengguna selewat-lewatnya Ahad ini, menurut Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Jumaat.

Dalam kenyataan di sini, SMART berkata pengepaman keluar air banjir telah berjaya dijalankan dan proses pencucian terowong sedang dijalankan.

Terowong itu ditutup Rabu lalu berikutan pelepasan air banjir ke dalam takungan terowong SMART selepas Lembah Klang dilanda hujan lebat selama empat jam.

"Pemeriksaan mekanikal dan elektrikal akan dijalankan bersama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan selamat sebelum terowong itu dibuka semula untuk pengguna," katanya.

Menurut kenyataan itu, bacaan hujan lebat yang dicatatkan pada Rabu lalu adalah tertinggi yang pernah dialami sejak pembukaan terowong itu dan jumlah isipadu air yang telah disalirkan melalui sistem Terowong SMART adalah pada tahap kapasiti maksimum iaitu tiga juta meter padu air.

Orang ramai boleh mengetahui status Terowong Lebuhraya SMART melalui laman web SMART di www.smarttunnel.com.my atau hubungi talian bantuan SMART 1300-88-7188 untuk pertanyaan. - BERNAMA

Artikel Lain