suria

Putrajaya Sasar Jadi Pusat Pentadbiran Terurus, Makmur Pada 2015

PUTRAJAYA: Putrajaya menetapkan visi dan matlamat untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang terurus dan makmur menjelang 2015, kata Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, Buku Pelan Strategik Perbadanan Putrajaya (PPj) 2011-2015 yang merupakan kesinambungan Pelan Strategik PPj 2008-2010 akan dijadikan panduan.

"Pelan strategik ini adalah sebagai satu panduan bagi Perbadanan Putrajaya bergerak untuk melaksanakan segala peranan tugas dan tanggungjawabnya untuk mencapai sasaran.

"Sasaran kita secara amnya ialah untuk melihat Putrajaya ini maju ke hadapan dan sebagai visi kita untuk melihat Putrajaya sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang makmur dan bertenaga di mana memenuhi citarasa keperluan penduduknya, pelawat dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Persijilan MS ISO 9001:2008 (FASA2) dan pelancaran Dokumen Pelan Strategik PPj 2011-2015, Dokumen Kerangka Kerja Pengurusan Risiko PPj & Manual Penguatkuasaan PPj di sini, Jumaat.

Katanya di dalam buku itu digariskan apakah tindakan dan rancangan yang perlu dilakukan perbadanan bagi mencapai visi itu. - BERNAMA

Artikel Lain