suria

Phahrolrazi Belum Terima Surat Pelantikan Semula Sebagai Exco

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi mengesahkan beliau masih belum menerima surat pelantikan semula sebagai exco kerajaan negeri Kedah sehingga Jumaat.

"Belum...saya tak terima lagi surat, lagipun hari ini (Jumaat) cuti," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Phahrolrazi yang jawatannya sebagai exco berakhir Rabu lalu berkata, beliau sendiri belum mendapat maklumat mengenai majlis angkat sumpah.

"Kita tunggu saja perkembangannya nanti," katanya.

Pada Khamis, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, nama Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail Salleh telah dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk dilanti sebagai exco kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah masih belum memberi perkenan mengenai cadangan pelantikan itu.

Azizan berkata majlis angkat sumpah exco hanya boleh diadakan selepas mendapat perkenan sultan.

Terdahulu Azizan yang keluar daripada Hospital Sultanah Bahiyah selepas menjalani pembedahan mata masuk ke pejabatnya sebelum ke Istana Anak Bukit pada pukul 4.50 petang.

Beliau meninggalkan istana pada pukul 5.40 petang dan menemui media di luar pagar istana.

Sementara itu, usaha menghubungi Dr Ismail untuk mendapatkan komen beliau tidak berhasil.

Artikel Lain