suria

Pembatalan SBPA Bukan Kegagalan Dasar Kerajaan - Muhyiddin

KUALA PILAH: Tindakan kerajaan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bukan disebabkan kegagalan kerajaan melaksanakan sesuatu dasar seperti yang didakwa pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebaliknya pembatalan itu dibuat selepas kajian mendapati skim itu tidak memenuhi tuntutan bagi meningkatkan gaji dan kemudahan lain untuk penjawat awam.

"Semasa kita mahu kemukakan SBPA itu, rupa-rupanya ada perkara-perkara yang tidak kita ketahui di peringkat awal dan bila diperincikan satu persatu, pihak perkhidmatan awam yang diwakili Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam memberikan pandangan bahawa apa yang diusulkan (dalam SBPA) tidak dapat memenuhi tuntutan mereka.

"Perkara itu (skim SBPA) belum kita laksanakan kerana kita baru kemukakan tawaran, jadi perkara ini kita kaji balik kerana kita responsif kepada pandangan pegawai-pegawai awam," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan guru-guru agama, guru-guru takmir, ahli jawatankuasa masjid dan pemimpin-pemimpin masyarakat Kuala Pilah di Johol di sini Jumaat, sempena lawatan kerja seharinya ke Negeri Sembilan.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Muhyiddin berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu juga telah diterima baik oleh penjawat awam sekaligus menyebabkan pembangkang berasa tergugat dan bimbang pengaruh mereka dalam kalangan penjawat awam menurun.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata siri Dialog Pendidikan Nasional yang merupakan sebahagian daripada kajian menyeluruh sistem pendidikan negara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang.

Katanya hasil dialog itu yang merangkumi pandangan dan idea daripada pelbagai lapisan masyarakat itu akan dirumuskan dan dimasukkan dalam laporan yang akan dibentangkan hujung tahun ini.

"Soal pendidikan ini adalah perkara yang utama, (dan) semua rakyat ada kepentingan dan mahu tahu kalau kita mahu buat kajian, apa kandungannya dan pandangan mereka akan diambil kira atau sebaliknya.

"Jadi kita bersikap terbuka dan kita nak melibatkan semua kelompok yang ada kepentingan sama ada mereka Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, ahli akademik, pihak industri, pemimpin masyarakat, semuanya ada pandangan yang ada hubungkait dengan sistem pendidikan," katanya.

Muhyiddin berkata bahawa dalam soal mentadbir sesebuah negara kerajaan telah melakukan pelbagai pendekatan selama lebih lima dekad sejak Merdeka di mana kepentingan semua pihak diambil kira.

"Tapi kita sedar ada beberapa kelemahan-kelemahan kita yang lepas yang saya percaya kita boleh perbaiki. Kita berjanji kita akan perbaiki dan kita akan buat apa yang lebih baik dan ini kita telah mulakan apabila kita menggerakkan program transformasi yang mengcakupi semua aspek baik dalam kerajaan, ekonomi, politik dan soal luar bandar dan pembangunan yang lain," katanya.

Beliau berkata, dalam proses hendak mencapai status negara maju, terdapat pelbagai cabaran yang kadang-kadang bukan disebabkan oleh kelemahan kerajaan sebaliknya faktor luaran seperti krisis ekonomi dunia yang memberi kesan terhadap ekonomi negara.

"Bila ekonomi antarabangsa agak meleset dan ada krisis ekonomi di tempat lain, Malaysia tidak terkecuali, jadi ada kelemahan-kelemahan begitu tapi kita sedari dan kita cuba menyelesaikan masalah itu," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain