suria

Naluri Berhad Diperintah Bayar 36 Bulan Gaji Kepada Bekas Ketua Unit Udang-Undangnya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Naluri Corporation Berhad (Naluri) membayar 36 bulan gaji kepada bekas ketua Unit Undang-undang dan Korporatnya Rizana Mohamad Daud sebagai bayaran pampasan mengikut kontrak kerjanya.

Hakim Datuk V T Singham memerintahkan tuntutan plaintif dibenarkan dengan kos manakala bayaran penuh akan dinilai dan memerintahkan faedah 8 peratus setahun dari 15 April, 2005 sehingga tarikh penghakiman dibayar kepada plaintif.

Rizana, 47, yang merupakan adik ipar bekas Pengerusi Malaysia Arilines (MAS) dan Pengerusi Naluri Tan Sri Tajudin Ramli, memfailkan tuntutan itu pada 6 April tahun lepas memohon pampasan kerana tidak menerima emolumennya, yang menurutnya beliau layak menerimanya mengikut Perkara 18 kontraknya.

Beliau berkata antara terma kontrak kerjanya termasuk sekiranya beliau meninggalkan syarikat itu sama ada menerusi peletakan jawatan atau dipecat, Naluri perlu membayarnya RM1.46 juta. Rizana meletak jawatan pada 14 Januari, 2005.

Beliau mendapat disebalik beberapa kali dipohon, syarikat itu gagal membayar amaun itu kepadanya. Dalam kenyataan pembelaannya, Naluri mendakwa tidak ada dokumen untuk menunjukkan bahawa Rizana telah dilantik sebagai ketua unit undang-undang dan kesetiausahaan syarikat.

Syarikat itu juga mendakwa writ Rizana juga difailkan di luar tempoh dibenarkan dan oleh yang demikian tuntutannya patut ditolak.

Singham dalam penghakimannya berkata plaintif telah menjalankan opsyen dan haknya untuk menamatkan kontrak kerjanya dengan memberikan notis berhenti kerja selama tiga bulan bertarikh 14 Januari, 2005.

Beliau berkata plaintif berhak dibayar pampasan bagi penamatan kerjanya yang termasuk dalam terma dan syarat beliau diambil bekerja.

Hakim itu juga berkata tidak terdapat sebarang keterangan di pihak lembaga pengarah mengenai adanya sebarang bantahan atau tidak boleh merayu bagi tiada pengetahuan mengenai gaji dan faedah yang diterima plaintif.

Rizana juga berkata beliau telah menjadi setiausaha syarikat bagi Naluri sejak 1996 dan menerima gaji RM20,000 sebulan dan faedah-faedah lain.

"Defendan (Naluri) tidak pernah mengemukakan bantahan atau pernah mencabar kedudukan plaintif atau gaji yang telah dibayar kepadanya sehingga beliau memfailkan tindakan itu di mahkamah.

"Disebalik hakikat bahawa ia sebuah syarikat senaraian awam, pengarah-pengarah tiba-tiba tersedar dan selepas memikirkannya dan sebagai cubaan terdesak telah secara tidak sah menafikan tuntutan plaintif," kata Singham.

Katanya hakikat bahawa plaintif ialah isteri kepada seorang daripada pengarah syarikat dan abang iparnya ialah pengerusi syarikat para defendan, perkara itu tiada kaitan dengan penguatkuasaan terma dan syarat kontrak kerjanya.

Naluri diwakili peguam Datuk Ben Chan Chong Choon manakala Rizana diwakili peguam Terrence Chan. -BERNAMA

Artikel Lain