suria

Kolaborasi Media Bantu PDRM Capai Tahap Kepolisan Bertaraf Dunia

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kerjasama media dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui pertukaran maklumat dapat membantu usaha agensi itu mencapai tahap kepolisan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, kerjasama melalui konsep 3C, iaitu 'komunikasi, kolaborasi dan kreativiti, menjadikan media lebih relevan dalam membantu polis menyalurkan maklumat dengan lebih tepat dan pantas kepada umum.

"Sejak saya menjadi Timbalan Ketua Polis Negara lagi, saya telah menekankan tentang keperluan supaya diwujudkan satu Pusat Media dalam PDRM. Ini menjadi kenyataan pada 21 Sept 2010," katanya ketika berucap pada malam media bersama PDRM di Pusat Latihan Polis di sini, yang bertemakan Polis& Media Berpisah Tiada.

Ismail berkata, pusat media itu berfungsi sebagai wahana perhubungan antara polis dan masyarakat, yang dijanakan melalui multimedia.

"Saya percaya ramai yang telah berurusan dan menggunakan pusat media PDRM di Bukit Aman," katanya sambil menjelaskan dasar itu kini telah diperluas ke setiap kontinjen polis negeri.

Beliau berkata, dalam mencapai kepolisan bertaraf antarabangsa, agensi itu kini mengkaji pembentukan formulasi dasar amalan baik dalam polis dan usaha tersebut dijalankan dengan bantuan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri.

Ismail berkata, kajian itu meliputi agensi penguatkuasaan undang-undang di New York dan Philadelphia di Amerika; Sweden dan England di Eropah serta Hong Kong dan Singapura bagi Asia.

"Kajian ini kelak akan digunakan dalam pembentukan formulasi meningkatkan sumber manusia, logistik dan kewangan sebagai persediaan PDRM untuk melaksanakan sepenuhnya kepolisan bertaraf antarabangsa," katanya.

Pada majlis sama, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong berkata, sebagai wakil media, pihaknya berharap kerjasama dengan PDRM dapat dikekalkan dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Beliau berkata, ia sejajar dengan matlamat Enam Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) termasuk membanteras jenayah melalui perkongsian maklumat antara polis dan media kepada umum. - BERNAMA

Artikel Lain