suria

Kementerian Luar Bandar Mahu Wujudkan Kampung Abad 21 Seluruh Negara

SEMPORNA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi tumpuan untuk mewujudkan Kampung Abad 21 di seluruh negara, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) bagi meneliti kesesuaian program berkenaan sebelum dilaksanakan.

"Konsep Kampung Abad 21 amat penting untuk direalisasikan di negara ini memandangkan banyak kawasan yang berpotensi untuk dimajukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di SK Tongkallah, Pulau Bumbum, dekat sini, Jumaat.

Beliau berkata, mengikut perancangan, kampung itu mudah dimajukan dan berupaya meningkatkan pendapatan rakyat.

"Tidak semestinya seorang nelayan hanya boleh mencari nafkah sebagai nelayan, melalui cara ini kita boleh juga menjadikan mereka seorang petani. Kita akan pelbagaikan jenis tanaman mengikut kawasan yang telah ditentukan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie meminta ibu bapa terutama di kawasan pulau supaya memberi kerjasama kepada pihak sekolah dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

"Dalam dunia tanpa sempadan ini, jika anak-anak mereka ingin maju dalam pelbagai bidang, ibu bapa perlu hantar mereka ke sekolah. Kita tidak mahu ada ibu bapa yang tidak ambil peduli tentang pelajaran anak-anak mereka," katanya.

Shafie berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat untuk melanjutkan pelajaran. - BERNAMA

Artikel Lain