suria

Kemelut Kedah Cukup Istimewa – Nik Aziz

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kesediaan dua Exco Kerajaan Negeri Kedah menggalas tugas mereka kembali sebagai titik noktah terhadap krisis yang melanda kepimpinan PAS Kedah.

Beliau menyifatkan krisis tersebut sebagai kemelut yang istimewa, kerana pada kebiasaannya sekiranya berlaku krisis apa yang dimahukan oleh pihak-pihak bertelagah adalah jawatan namun perkara sebaliknya berlaku di Kedah.

"Kesediaan kedua-dua orang exco untuk menggalas tugas yang sebelum ini enggan menerima jawatan mereka saya kira merupakan satu titik noktah terhadap krisis yang melanda PAS Kedah.

"Kemelut ini saya kira sungguh istimewa, yang biasa didengar khususnya berlaku dalam kelompok sekular ialah pihak-pihak bertelagah kerana inginkan jawatan, tapi di Kedah, kemelut berlaku apabila ada pihak yang menolak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan konflik dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah meruncing apabila Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh enggan menerima pelantikan semula sebagai exco sebagai tanda protes kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyebabkan pucuk pimpinan PAS pusat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu bagi menanganinya.

Phahrolrazi dan Ismail kemudian bersetuju menerima semula pelantikan itu dengan mengenakan syarat mengekalkan kekananan mereka dalam exco yang baru dilantik dan mahukan Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat bagi memantau Menteri Besar dalam menguruskan negeri.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata jawatan ialah lubuk untuk mencari kekayaan, membina empayar perniagaan dan pengaruh, justeru mana mungkin ia boleh ditolak begitu sahaja.

Beliau berkata sekiranya wujud penyelewengan sudah pasti mereka enggan untuk meletakkan jawatan.

“Saya simpati terhadap 'tupai-tupai' yang melompat keseronokan ketika kemelut ini berputik kerana mereka menjangka akan dapat 'menikmati buahnya'. Sayangnya, putik tidak menjadi masak, tupai pula jatuh kehampaan,” katanya.

Jelasnya, kaedah PAS mencari jalan penyelesaian adalah dengan mengadakan pertemuan dan mendengar luahan semua pihak.

“Inilah kaedah PAS melakukan penyelesaian. Krisis boleh ditangani dengan pertemuan dan mendengar luahan semua pihak.

"Di Kelantan, pernah beraku krisis melibatkan pertembungan antara Menteri Besar dan wakil rakyat kerajaan iaitu pada tahun 1978, jalan yang diambil bukannya perbincangan dan pertemuan, tetapi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada masa itu.

"Berbezanya antara dua penyelesaian membuktikan berbezanya dasar yang digunakan, satu dasar Islam dan satu lagi dasar sekular!," katanya.

Artikel Lain