suria

Jangan Salah Guna E-Book Untuk Kegunaan Peribadi - Ahmad Said

DUNGUN: Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said meminta ibu bapa agar tidak menyalah guna komputer riba yang dibekal kerajaan negeri menerusi projek pemberian e-book untuk kegunaan anak mereka.

Ahmad berkata beliau menerima maklumat bahawa ada di kalangan ibu bapa yang bertindak seolah-olah komputer riba itu kepunyaan mereka sedangkan ia diberi untuk kegunaan murid membuat tugasan dengan lebih mudah di sekolah.

"Tahun lepas, saya mendapat tahu ada sebuah komputer riba yang rosak akibat dilempar oleh seorang bapa yang berang akibat keghairahan isterinya melayari internet menggunakan komputer riba anak sehingga larut malam.

"Kes ini berlaku di Hulu Terengganu. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana komputer riba itu adalah milik anak untuk pelajaran, bukannya milik ibu bapa untuk tujuan lain," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan e-book untuk murid-murid sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di sini.

Sebanyak 465 unit komputer riba jenama 'Top IT' diserah kepada murid di lima sekolah dalam DUN itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar, SK Pusat Dungun, SK Kuala Dungun, SK Bandar Dungun dan SJK Cina Kwang Hwa.

Ahmad berkata walaupun kes kerosakan komputer riba akibat penyalahgunaan ibu bapa itu hanya kes terpencil, ia wajar diambil iktibar oleh masyarakat.

"Kerajaan negeri memberi komitmen penuh untuk projek ini bagi memastikan murid-murid celik dan berkemahiran dalam menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT) yang semakin canggih sekarang.

"Sejak tahun projek ini dilancarkan pada 2009, kita berbangga apabila hampir kesemua anak-anak Terengganu yang berada di sekolah menengah tidak menghadapi masalah dengan IT," katanya.

Beliau yang mencetuskan idea penggunaan e-book itu juga gembira kerana masalah murid membawa beg yang berat ke sekolah tidak lagi berlaku di Terengganu. - BERNAMA

Artikel Lain