suria

Dua Lelaki Ditahan, Pistol, Parang Dan Dadah Dirampas

PASIR MAS: Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol, dua bilah parang dan dadah setelah kereta mereka terbabas semasa dikejar kereta peronda polis di Jalan Teliar, Bunut Susu, dekat sini, pagi Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga lagi rakan mereka dapat melarikan diri ke kawasan berdekatan.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, polis menahan kereta jenis Perodua Viva itu di Jalan Teliar tetapi tiba-tiba penumpang kerusi depannya mengacukan pistol ke arah anggota polis berkenaan sebelum pemandunya memecut laju dan kemudiannya terbabas selepas dikejar polis.

"Selepas pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sepucuk pistol hitam dan satu kelongsung peluru, dua bilah parang dan tiga botol plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama pada Khamis.

Seorang daripada suspek itu berumur 21 tahun dan berasal dari Kampung Tualang, Bunut Susu manakala seorang lagi berumur 36 tahun berasal dari Kampung Padang Tok La, Pasir Mas.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lelaki berkenaan mempunyai nombor pendaftaran motosikal yang dilaporkan di Balai Polis Benta, Pahang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain