suria

Cadang Wujudkan Pelan Nasional Atasi Kesesakan Trafik Di Kawasan Perindustrian

BUTTERWORTH: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mencadangkan agar satu pelan nasional diwujudkan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik khususnya di kawasan perindustrian di negara ini.

Beliau berkata masalah kesesakan itu memerlukan penyelesaian segera sebagai langkah penjimatan kos operasi sesebuah syarikat ekoran kelewatan penghantaran produk ke sesuatu destinasi.

"Masalah kesesakan lalu lintas di kawasan perindustrian bukan setakat di Pulau Pinang sahaja tetapi ini adalah masalah nasional," katanya kepada pemberita merasmikan projek menaiktaraf infrastruktur dalam kawasan perindustrian Perai, di sini, Jumaat.

Mustapa berkata objektif utama program menaiktaraf kawasan perindustrian adalah untuk membantu kerajaan negeri menyediakan infrastruktur yang selesa kepada pelabur dalam usaha meningkatkan daya saing pelabur dan pengusaha.

Beliau berkata masalah utama lain yang turut dibincangkan dalam pertemuan singkat dengan pengusaha dan pelabur di kawasan perindustrian itu ialah kekurangan tenaga mahir untuk membantu melancarkan operasi syarikat.

"Masalah ini juga sedang diatasi dan kita ada menjalankan kerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan kerajaan menyediakan latihan dan program khusus dalam usaha meningkatkan kemahiran pekerja," katanya.

Sementara itu, di bawah 'Rollong Plan' pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), pada tahun 2011, kerajaan pusat telah memperuntukan sebanyak RM1.957 juta kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menaiktaraf infrastruktur asas di kawasan perindustrian.

Mustapa berkata pada tahun ini kerajaan juga telah memperuntukan sebanyak RM5.4 juta kepada MPSP untuk melaksanakan program yang sama dalam usaha memastikan menyediakan persekitaran yang kondusif dan berpotensi untuk menarik pelaburan baru dan mengekalkan pelabur sedia ada.

"Jumlah keseluruhan yang telah diperuntukan oleh kerajaan bagi tujuan melaksanakan program ini di seluruh negara ialah sebanyak RM70 juta berbanding RM30 juta pada tahun lepas.

"Dengan adanya peruntukan ini ia seterusnya akan meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang tinggi dan mampu bersaing di peringkat global," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain