suria

Polis Tumpas Sindiket Edar Syabu Di Labuan

LABUAN: Polis Labuan memberkas empat warga asing termasuk seorang wanita yang dipercayai mendalangi satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di pulau ini dalam operasi pada Ahad lepas.

Penguasa Polis Labuan, Saiman Kasran berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 33.09 gram bernilai kira-kira RM30,000.

Mengulas tangkapan itu pada sidang media di sini pada Khamis, Saiman berkata, tangkapan pertama dibuat hasil intipan unit narkotik ke atas seorang lelaki di Pekan Jati.

"Susulan penangkapan itu, polis menyerbu sebuah bilik hotel dan berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 30-an dipercayai dalang sindiket dan seorang wanita berusia 27 tahun.

"Polis menjumpai lapan paket plastik jernih yang berisi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.83 gram disembunyikan dalam poket seluar suspek lelaki," katanya.

Polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 45 tahun di Kampung Saguking dan merampas enam paket plastik berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 10.60 gram.

"Suspek kemudiannya membawa anggota polis ke sebuah rumah di penempatan Kiansam dan menemui sembilan paket mengandungi dadah jenis syabu seberat 16.66 gram di dalam almari pakaian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain