suria

Polis Ambil Keterangan Dua Pemandu Bas Pelancong

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan dua pemandu bas persiaran yang terlibat dalam satu kemalangan sehingga menyebabkan dua pelancong rakyat India terbunuh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis mengambil keterengan daripada kedua-dua pemandu G. Sugumaran, 26, dan A. Moothy, 45, semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kemalangan tersebut.

"Kedua-dua mereka telah keluar dari HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan buat masa sekarang mereka mendapatkan rawatan di klinik swasta. Mereka masih lagi dalam pemerhatian kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Dua pelancong rakyat India terbunuh manakala 24 lagi termasuk kedua-dua pemandu itu cedera apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan di kilometer 4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini ketika dalam perjalanan ke ibu negara dari Genting Highlands.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang Dr Mohd Suhaimi Abd Majid berkata sembilan mangsa kemalangan masih dirawat di Hospital dengan empat berada dalam keadaan kritikal manakala lima lagi stabil.

"Saya tidak rasa mereka boleh dibenar keluar dalam waktu terdekat kerana daripada kesan kecederaan itu mereka masih memerlukan rawatan. Dua mangsa masih berada dalam unit kecemasan dengan bantuan alat pernafasan kerana mengalami kecedeaan di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jurucakap HKL mengesahkan dua rakyat India yang dirawat di HKL telah dibenar keluar dari hospital dan diuruskan pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi India pada Isnin.

"Dua mangsa yang dibenarkan keluar ialah Rajeev, 27, dan Sharma Kamlesh 23. Setakat ini, 11 lagi masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil," kata jurucakap itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain