suria

PKR Dakwa Ahli Keluarga Shahrizat Beli Hartanah Mewah Di KL Guna Dana NFC

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu mendedahkan dokumen yang didakwa menunjukkan suami Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta anaknya menggunakan dana yang diperuntukkan kepada Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) untuk mendapatkan pinjaman peribadi bagi membeli hartanah mewah di Kuala Lumpur.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli turut mendakwa ahli keluarga Shahrizat telah memasukkan sebanyak RM71.4 juta dan RM90 juta sebagai deposit tetap NFC di dua buah bank.

Rafizi mendakwa, perkara tersebut dilakukan bagi memudahkan keluarga Shahrizat mendapatkan pinjaman kredit daripada pihak bank untuk membeli lapan unit pejabat mewah di ibu kota.

Selain itu, Rafizi juga mendakwa deposit tersebut termasuk RM10 juta yang digunakan untuk membeli kondominium mewah di Orchard Road Singapura serta lapan unit pejabat mewah yang dibangunkan oleh KL Eco City.

Jelasnya, nilai pasaran lapan unit pejabat dianggarkan bernilai RM12 juta.

Bukan itu sahaja, Rafizi mendakwa pada 2009, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh and tiga anaknya turut membeli hartanah peribadi dengan mengkreditkannya ke dalam akaun NFCorp.

"Sejumlah besar dana tersebut didepositkan ke dalam bank-bank tertentu dan kemudiannya keluarga Shahrizat membuat pinjaman pembiayaan untuk membeli pelbagai hartanah mewah atas nama mereka, walaupun mereka tidak mempunyai simpanan yang kukuh di bank tersebut.

"Semakan dengan sebuah bank tempatan mengesahkan fakta-fakta tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Justeru, Rafizi menggesa salah guna dana awam untuk mendapatkan pinjaman peribadi perlu segera dihentikan kerana ia berlawanan dengan matlamat asal NFC untuk membangunkan projek untuk kepentingan nasional.

"PKR merasa bimbang dengan rekod pembayaran pinjaman yang buruk termasuklah mereka gagal membayar pinjaman peribadi tersebut pada bulan Julai, Ogos serta Disember 2011.

"Oleh kerana deposit tetap NFC bernilai RM71.4 juta berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi ahli keluarga Shahrizat maka Shahrizat sebagai mewakili keluarga perlu memberi jaminan tidak akan ada lagi masalah pembayaran membabitkan pinjaman peribadi mereka agar ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dana awam yang disimpan di bank yang sama," katanya.

Pada masa yang sama, PKR turut menggesa kerajaan menunaikan janji untuk membekukan semua aset NFC termasuklah deposit tetap bernilai RM71.4 juta.

NFC mendapati pihaknya berada dalam keadaan tidak selesa apabila PKR mendedahkan apa yang didakwa penyalahgunaan dana awam oleh syarikat itu, diikuti laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan Pusat Fidlot Nasional itu tidak diuruskan dengan baik dan hanya menghasilkan 3,289 ekor lembu, yang merupakan 41% daripada sasaran.

PKR juga berkata NFC telah menerima peruntukan pinjaman sebanyak RM250 juta oleh kerajaan, serta membelanjakan sebanyak RM827,579 untuk perjalanan luar negara bagi pengarah NFC.

Keputusan NFC untuk membeli dua kondominium mewah di One Menerung, Bangsar, juga dianggap sebagai pelaburan luar biasa bagi syarikat perniagaan lembu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain