suria

Pengawal Keselamatan Maut Digilis Treler

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan, yang baru pulang membeli ubat di sebuah farmasi, maut apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah treler di Bulatan Tuan Padang di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Superitendan Azham Othman berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Adnan Awang, 59, dari Kampung Sireh, maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada kepalanya.

"Beliau gagal mengawal motosikalnya yang bergesel dengan treler menyebabkan mangsa tercampak ke bawah badan treler dan kepalanya digilis," katanya ketika dihubungi di sini.

Azham berkata, ketika kejadian, treler itu sedang menghala ke Jalan Sultan Ibrahim manakala Adnan pula dari arah Jalan Hospital.

Sementara itu, anak bongsu mangsa, Nor Adilah Adnan, 23, berkata bapanya ke farmasi berkenaan untuk membeli ubat bagi penyakit gout dan darah tinggi.

"Selepas itu, bapa sepatutnya terus ke tempat kerja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain