suria

Penganggur OKU Dipenjara 64 Bulan, 10 Sebatan Kerana Miliki Dadah

PETALING JAYA: Seorang penganggur yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dihukum penjara 64 bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 182.58gram, tiga tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap M.Alagesan, 30, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada Rabu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 9 Okt 2009.

Alagesan yang berkerusi roda didakwa memiliki dadah itu di Blok Q-018, Apartment Harmoni 55, Jalan PJU 10/4C, PJU 10, Damansara Damai dekat sini pada 10 malam, 9 Oktober, 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili tertuduh memohon hukuman terhadap Alagesan diringankan kerana anak guamnya lumpuh sejak 2001 selepas terbabit dalam satu kemalangan.

"Ini juga merupakan kesalahan pertama Alagesan dan anak guam saya kini tinggal bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal serta dua adiknya," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chong Kak Sen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain