suria

Muhyiddin Serah Sumbangan RM1.72 Juta Kepada Viva Palestina Malaysia

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,728,381.39 kepada Viva Palestina Malaysia (VPM) bagi membiayai projek-projek pendidikan 11 sekolah di Jaballia, Utara Gaza, Palestin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyerahkan replika cek berkenaan kepada Pengerusi VMP Datuk Dr Musa Mohd Nordin di pejabat beliau di sini, Khamis.

Pencerobohan Gaza pada Disember 2008 dan penyahmanusiaan rakyat Palestin oleh regim zionis Israel telah menggerakkan Kementerian Pelajaran untuk mengadakan kutipan derma di seluruh negara.

Pegawai kanan kementerian, petugas, pengetua dan guru besar, guru-guru, murid dan pelajar sekolah termasuk prasekolah dari seluruh negara memainkan peranan mengadakan kutipan sumbangan dan berjaya mengumpulkan RM1,728,381.39.

Bersama-sama dengan VPM, sebuah projek dikenal pasti dan dirancang untuk memulihkan dan mengekalkan kelas-kelas, makmal serta kemudahan pendidikan di 11 sekolah di Jaballia, utara Gaza, Palestin. Antara beberapa objektif khusus projek berkenaan termasuklah penambahbaikkan suasana pembelajaran di kelas bagi 8,400 pelajar, memulih dan mengekalkan 210 bilik darjah di 11 sekolah, menaik taraf kemudahan di sembilan makmal sains, sembilan makmal komputer dan 11 perpustakaan, pemulihan serta penyelenggaraan 135 tandas dan 12 bilik air.

Selain itu, projek berkenaan meliputi pembaikan dan penyelenggaraan semua tingkap, pintu, lampu dan pengudaraan serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi 23 tenaga pengajar dan pentadbiran.

Projek itu bertujuan mewujudkan satu persekitaran pendidikan di 11 sekolah yang akan meningkatkan potensi pembelajaran para pelajar di pelbagai peringkat pendidikan.

VPM merayu sumbangan daripada badan korporat dan individu yang secara langsung kepada pelaksanaan projek-projek terpilih, yang direka untuk menyediakan sumber pendapatan kepada rakyat Palestin di Gaza, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Sejak penubuhannya pada Januari 2009, VPM tidak henti-henti berusaha ke arah menegakkan keadilan dan memperbaiki nasib diri rakyat Palestin.

Tahun ini, VMP merancang projek dan aktiviti meliputi projek "Kembali ke Sekolah", projek pertanian bersepadu dan penternakan, projek warisan Palestin dan latihan bagi para doktor di Gaza di peringkat sarjana perubatan dan pembedahan di pusat pengajian perubatan di Malaysia.

VPM juga akan menjadi menyertai misi Viva Palestina 6 - "The Right of Return Convoy" yang dijadualkan berlepas dari London pada 22 April dan melakukan perjalanan merentasi Eropah, Timur Tengah ke Mesir dan memasuki Gaza pada 15 Mei, yang merupakan Hari Nakba (Hari Kecelakaan). Konvoi berkenaan fokus kepada pemulihan dan pembinaan semula Gaza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain