suria

Kembali Kepada SSM Dengan Penambahbaikan Langkah Yang Betul - Pemuda Umno

PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menegaskan, kerajaan telah mengambil langkah yang betul dengan membatalkan pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilihat sebagai berita terbaik untuk semua kakitangan awam negara ini.

"Dari dulu kita (Pemuda) cuba membantu kakitangan awam berhubung isu ini. Ramai yang tak dapat terima SBPA. Bila perdana menteri umumkan pemansuhan SBPA, itulah sebenarnya penyelesaian yang terbaik," jelas beliau.

Selain itu, Khairy berkata pemansuhan itu juga sekali gus dapat melenyapkan lambang ketidakadilan dalam sistem saraan penjawat awam.

"Dengan penyelarasan semula yang dibuat, sistem saraan akan lebih adil dan dapat mengelakkan daripada berlakunya jurang yang terlalu besar dalam skim persaraan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Mohd Najib pada pagi Khamis mengumumkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu akan dimansuhkan.

Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Najib, turut mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya khas yang dianggotai oleh semua pihak berkepentingan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia.

"Selaras dengan komitmen kerajaan sebagaimana yang diumumkan dalam ucapan belanjawan 2012 suka saya umumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM," katanya pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C kadarnya dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan.

Menurutnya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain