suria

Jangan Biarkan Pekerja Wanita Dieksploitasi - Azizah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun meminta pihak berkuasa tempatan dan badan berkaitan supaya kerap memantau dan pantas menyekat operasi premis perniagaan yang mengeksploitasi pekerja wanita.

"Kita tidak mahu ada orang mengambil kesempatan terhadap wanita, terutama mereka yang datang dari kampung dan tidak berpelajaran yang bersusah payah mencari rezeki.

"Ada sahaja orang menawarkan pekerjaan haram seperti perniagaan refleksologi yang turut menyediakan khidmat seks, sekaligus menyusahkan wanita apabila terperangkap dalam sesuatu serbuan polis dan operasi pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas membuka Zara Boutique Hotel sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di sini, Khamis.

Azizah berkata kerajaan sentiasa mengusahakan dan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu wanita tetapi masih menerima maklumat mengenai golongan wanita yang diperdaya dan dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau juga meminta supaya wanita sentiasa merujuk kepada jabatan dan agensi kerajaan untuk mengetahui peluang yang tersedia untuk mereka.

"Sebenarnya, wanita mampu melakukan apa sahaja jika mempunyai hasrat yang tinggi dan tekun berusaha. Lihat sahaja hotel ini yang dimulakan dan diusahakan sepenuhnya oleh wanita," kta Azizah.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong dan membantu wanita untuk maju seperti memberi kaunseling, motivasi, latihan dan pinjaman kewangan bagi memulakan perniagaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain