Bekas Pramugari Dan Kekasih Ditahan Disyaki Miliki Ganja - Semasa | mStar

Bekas Pramugari Dan Kekasih Ditahan Disyaki Miliki Ganja

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pramugari dan kekasihnya ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah inap desa di Persiaran Cinta Sayang, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superitendan Hashim Ali berkata, dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi Selasa itu, polis menemui 14 ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja.

"Ganja itu ditemui di bawah tilam di atas katil dalam bilik inap desa itu dan sebekas plastik yang mempunyai bahan disyaki candu seberat 910 gram ditemui dalam beg pakaian suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini Khamis.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta perodua Myvi dan wang tunai berjumlah RM5,150.

Suspek yang masing-masing berusia 28 dan 31 tahun itu dipercayai menjadikan bilik di inap desa berkenaan sebagai tempat untuk menyimpan ganja sebelum menjualnya kepada pembeli sejak empat hari lepas.

Hashim berkata, anggaran nilai dadah yang dirampas itu ialah RM44,200 dan suspek direman tujuh hari sejak semalam untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Hashim berkata, sebanyak 4,125 unit mesin judi bernilai RM2 juta keseluruhannya dirampas di daerah Kuala Muda dalam tempoh 2008 sehingga kini.

"Sebanyak 73 kedai dipotong bekalan elektrik pada tahun lepas dan untuk tahun ini, 12 presmis dikenakan tindakan yang sama," katanya.

Hashim berkata, langkah itu merupakan tindakan polis Kuala Muda untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras kegiatan perjudian yang melibatkan penggunaan mesin judi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain